Tips Skema SoalanUPSR /PMR/ SPM
BANDAR TUN RAZAK – Walaupun pergerakannya agak perlahan berbanding remaja lain seusianya, namun berbekalkan doa dan solat hajat yang tidak putus, calon orang kelainan upaya (OKU) Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat berjaya memperoleh keputusan cemerlang SPM.
Dengan keputusan 5A, 3B dan 2C, sekali gus menobatkan pelajar terbabit, Azreen Husaini Husop, 18, sebagai pelajar pendidikan khas cemerlang negeri. Anak sulung dari tiga beradik ini bercita-cita untuk menjadi seorang guru sekali gus berhasrat untuk menyambung pengajian di sebuah maktab perguruan.
“Tidak kisah di mana, walaupun berjauhan dari keluarga, saya sanggup asalkan dapat menyambung pengajian di maktab perguruan jika diberi peluang,” katanya.
Ibunya, Noraini Abd Hamid, 44, berkata, walaupun anaknya serba kekurangan, Azreen dikatakan cemerlang sejak dari sekolah rendah lagi.
“Ketika PMR, Azreen juga telah dinobatkan sebagai pelajar pendidikan khas terbaik. Pergerakan dan pertuturan Azreen yang perlahan sukar untuknya menaikkan dirinya dalam bidang lain kecuali dalam pelajaran, justeru, itulah yang membuatkan saya sering bangga dengannya,” katanya.
Noraini berkata, sebagai ibu kepada anak istimewa ini, beliau juga tidak akan menghalang Azreen sekiranya hendak menyambung pengajian di tempat yang jauh dari keluarga.
“Saya memang tidak menghalangnya untuk menyambung pengajian di institusi pilihannya. Azreen memang seorang yang pandai berdikari. Malah sejak dari tingkatan satu lagi saya sudah meletakkan dia di asrama untuk belajar berdikari dan saya percaya, walaupun dia duduk jauh dari keluarga dia boleh membawa dirinya nanti,” katanya.
Azreen yang merupakan anak seorang bilal Felda Jengka 1, berjaya membuktikan walaupun dirinya serba kekurangan, namun tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya seperti mana remaja normal lain. Dalam pada itu, seorang lagi pelajar sekolah terbabit, Rasyiqah Ramli, 18, pula dinobatkan sebagai calon SPM bagi Daerah Maran.
Rasyiqah yang mempunyai keputusan 10A memberitahu, sering berjumpa dengan guru apabila tidak memahami tentang sesuatu perkara dalam pelajaran menjadi resepi utama kejayaannya.
"Sekiranya tidak faham, bersegeralah berjumpa dengan guru. Selain itu, mungkin kejayaan ini juga merupakan berkat doa kedua ibu bapa saya,” katanya.
Rasyiqah, anak pasanganRamli Katio, 71, dan Siti Aminah Waqiman, 56, mungkin antara anak peneroka Felda Jengka 8 yang memperoleh keputusan cemerlang selain boleh dijadikan contoh untuk generasi seterusnya pada masa akan datang.
Selamat Maju Jaya
0 comments:
Post a Comment