Tips Skema PMR

BAHASA MELAYU KERTAS 1 PMR
BAHASA MELAYU KERTAS 2 PMR
SAINS KERTAS 2 PMR
TEKNIK MENJAWAB GEOGRAFI PMR
TEKNIK MENJAWAB PENDIDIKAN ISLAM PMR
TEKNIK MENJAWAB PENDIDIKAN SEJARAH PMR
TEKNIK MENJAWAB KEMAHIRAN HIDUP- KEMAHIRAN TEKNIKAL PMR
MATHEMATICS PRESENTATION PMR
ENGLISH PMR TIPS
MATH PMR MODULE








BAHASA MELAYU KERTAS 1 PMR


A KENALI KERTAS ANDA!

1. Kertas ini dikenali dengan kod 02/1 PMR.


2. Mulai tahun 2005, terdapat perubahan format, iaitu jumlah soalannya terdiri daripada 40 soalan objektif.

3. Jumlah masa yang diperuntukkan juga berubah, iaitu hanya 1 jam sahaja.

B PEMBAHAGIAN KERTAS 1


Soalan 1 – 7

Merupakan soalan – Penggunaan pelbagai jenis kata, imbuhan dan kata ganda dalam ayat.

Tips menjawab!

• Soalan jenis ini, sebenarnya merupakan bentuk soalan yang memang dikemukakan dalam Kertas 1 Bahasa Melayu PMR, pada setiap tahun.



• Justeru, para pelajar boleh merujuk kertas soalan pada tahun-tahun yang lepas untuk membiasakan diri pelajar dengan bentuk soalan tersebut.


• Para pelajar perlu mempunyai pengetahuan tatabahasa dan penguasaan kosa kata yang mantap. Bagi tujuan ini adalah mustahil untuk pelajar menghafal kesemua kosa kata yang terdapat dalam kamus.


• Kaedah yang lebih efektif adalah dengan banyak membuat latihan dan merujuk kamus. Logiknya, semakin banyak anda membuat latihan, maka semakin banyak kosa kata yang anda kuasai.

Contoh


Lukisan yang mendapat tempat pertama dalam pertandingan itu menunjukkan bahawa pelukisnya mempunyai _________ yang tinggi.


A daya nukilan


B daya rasa


C daya imaginasi


D daya upaya

Soalan 8 – 14



Merupakan soalan mengesan kesalahan umum tatabahasa sama ada dari segi:


(a) Kesalahan dari segi penggunaan kata;


(b) Kesalahan dari segi penggunaan frasa;


(c) Kesalahan dari segi struktur ayat;


(d) Kesalahan dari segi penggandaan;


(e) Kesalahan dari segi pemajmukan; dan


(f) Kesalahan dari segi pengimbuhan.

Tips menjawab!

• Untuk menjawab soalan jenis ini, sekali lagi, penguasaan tatabahasa adalah sangat penting.



• Latihan menjawab soalan-soalan tahun lepas akan dapat membantu pelajar membiasakan diri dengan bentuk-bentuk kesalahan yang sering disoal dalam kertas soalan.


Contoh: tepak-tapak, rasmi-resmi, tembok-tembuk


-di dalam/dalam, demi untuk/untuk, pada/kepada, dari/daripada


• Jadikan kamus dan buku rujukan tatabahasa sebagai bahan untuk mengukuhkan penguasaan tatabahasa anda.


• Jadikan sikap suka menganalisis ayat sebagai satu amalan terutamanya semasa membaca akhbar atau majalah.



Contoh

Datuk Abdul Malik menempah sejarah kerana berjaya merentasi Selat


   A                                  B                                                   C


Inggeris. Tiada kesalahan


                         D 

Soalan 15 – 17


Mengenal pasti maksud kata dan penggunaan kata yang betul dalam sesebuah ayat.

Tips menjawab!

• Jumlah soalan hanya 3 sahaja. Namun, soalan ini agak mengelirukan jika penguasaan kosa kata pelajar lemah.



• Antara teknik yang boleh diguna pakai adalah dengan mengenal pasti terlebih dahulu penggunaan kata yang salah. Kemudian, potong jawapan yang mengandungi nombor jawapan itu.


• Baki jawapan yang ada haruslah dianalisis untuk mengenal pasti kesalahannya.


• Walau bagaimanapun, latihan dan persediaan awal amat perlu untuk memudahkan para pelajar menjawab soalan-soalan jenis ini.

Contoh:

I Terdapat kesan jari pencuri pada pemegang pintu itu.


II Filem yang menyayat hati itu memberi kesan kepada penonton.


III Dia memotong rumput supaya halaman rumahnya ada kesan cantik.(x)


IV Penyakit taun memberi kesan yang buruk terhadap industri pemakanan.






A I dan II sahaja


B I, II dan IV sahaja


C II, III dan IV sahaja (x)


D I, II, III dan IV (x)

Soalan 18 – 21



Soalan dalam kumpulan ini ingin menguji pengetahuan sintaksis para pelajar. Para pelajar diminta mengenal pasti sama ada bahagian ayat yang digaris itu betul atau salah. Jika didapati salah, pilih jawapan yang tepat bagi menggantikan bahagian yang bergaris itu.

Tips menjawab!

 Baca bahagian yang bergaris itu dengan teliti. Cuba kenal pasti aspek-aspek tatabahasa yang terdapat dalam ayat yang digaris itu. Misalnya, sama ada, dari aspek imbuhan, kata ganda, struktur ayat, atau pemajmukan.

 Melihat jawapan juga, adalah salah satu cara untuk mendapat jawapan yang betul. Mana-mana jawapan yang memang dikenal pasti salah, hendaklah dipotong.



 Dengan cara ini, jumlah jawapan yang hendak dipilih semakin berkurang, maka memudahkan anda untuk membuat pemilihan. Namun, seperti biasa, penguasaan tatabahasa amatlah mustahak. Latihan yang konsisten, pasti menambah pengalaman dan penguasaan pelajar untuk menjawab soalan ini.






Contoh


Subhi menceritakan tentang pengalamannya semasa mendaki Gunung


Ledang di Johor.






A cerita tentang pengalamannya (x) = tiada imbuhan ber-


B bercerita tentang pengalaman dia (x) = dia digantikan dengan –nya.


C menceritakan pengalamannya ()


D menceritakan tentang pengalamannya (x) = kata kerja berimbuhan –kan tidak menerima kata sendi nama; tentang.

Soalan 22 – 24



Soalan untuk menentukan maksud ayat. Soalan jenis ini memang popular sejak dahulu lagi. Pelajar diuji untuk mengenal pasti ayat yang mempunyai maksud yang sama tetapi berbeza dari segi strukturnya.

Tips menjawab!

 Pelajar mesti membaca ayat utama dengan teliti dan cuba memahaminya.



 Isi utama yang terkandung dalam ayat itu hendaklah dikenal pasti dan ditandakan. Biasanya tiga.


Contoh


Lawatan ke pusat kraf tangan itu bertujuan untuk mendedahkan penduduk kampung supaya mereka dapat memanfaatkan hasil bumi tempatan.


 Kemudian, kenal pasti jawapan atau ayat yang lain, yang mengandungi ketiga-tiga isi tersebut.


Contoh


Setelah melawat pusat kraf tangan itu, penduduk kampung mendapat pendedahan tentang bagaimana hendak memanfaatkan hasil bumi tempatan.


 Soalan ini kadangkala sangat mengelirukan. Oleh itu, pelajar harus teliti dan sentiasa memeriksa semula jawapan anda.

Soalan 25 –27


Soalan ini ingin menguji pelajar supaya memilih gabungan ayat yang betul tatabahasanya sahaja. Jumlah ayat yang diberi adalah sebanyak empat.

Tips menjawab!

 Di samping mencari ayat yang betul dari segi tatabahasanya, para pelajar juga



boleh menggunakan teknik mengenal pasti ayat yang nyata kesalahannya.


 Jika ayat itu ternyata salah, maka, jawapan yang mengandungi ayat itu dipotongkan. Dengan cara ini, hanya tinggal beberapa ayat sahaja yang perlu dianalisis.


Contoh


I Rumah silam itu kelihatan sungguh menyeramkan.


II Hampir setiap malam ibu bertemankan air mata.


III Setiausaha Encik Ali bukan sombong, hanya bersikap tegas. (x)


(sombong = kata adjektif; sepatutnya = tidak)


IV Puan Tan terpaksa melahirkan kedua-dua orang anaknya itu melalui pembedahan kerana dia menghidap penyakit darah tinggi.


A I dan II sahaja


B II dan III sahaja (x)


C II dan IV sahaja


D III dan IV sahaja (x)


(Jawapan yang tepat ialah C kerana ayat perkataan silam pada rumah tidak boleh digunakan dan jawapan yang sebenarnya ialah usang.)

Soalan 28 – 30



Soalan tentang peribahasa.


 Soalan ini menguji pemahaman pelajar tentang peribahasa.


 Peribahasa terlalu banyak dan sukar dihafal, tetapi pelajar harus cuba memberi


penekanan terhadap peribahasa-peribahasa yang terkandung di dalam buku teks


Bahasa Melayu Tingkatan 1, 2, dan 3.

Tips menjawab!

 Senaraikan peribahasa yang terdapat di dalam buku teks.



 Cari maksud dan makna peribahasa tersebut.


 Cuba gunakan peribahasa di dalam ayat atau dalam karangan pelajar.

Soalan 31 – 35



Pemahaman Prosa (KOMSAS)
Soalan 36 – 40


Pemahaman Puisi (KOMSAS)

Tips menjawab!

 Pelajar perlu membaca petikan dengan teliti sekurang-kurangnya dua kali. Jangan hanya membaca ayat atau perenggan yang berkaitan dengan soalan sahaja.



 Kemudian, bacalah soalan-soalan dan setiap jawapan pilihan dengan teliti.


 Fahamilah maksud penggunaan kata dan frasa seperti kecuali, antara berikut, pernyataan yang benar, pernyataan yang tidak benar, perkara utama, mesej, pengajaran, tema, nilai murni, dan sebagainya. Jika kata atau frasa ini tidak difahami secara jelas, maka pelajar akan membuat kesilapan semasa mencari jawapan.


 Secara umumnya, soalan-soalan ini berdasarkan tiga bentuk, iaitu:

(a) Soalan pemahaman berdasarkan petikan;


(b) Soalan pemahaman KOMSAS berdasarkan petikan;


(c) Soalan pemahaman KOMSAS berdasarkan keseluruhan prosa atau puisi.


Soalan (a)


Pelajar dikehendaki mencari jawapan berdasarkan isi petikan sahaja. Cuba kenal pasti jawapannya dalam setiap perenggan atau setiap rangkap.

Soalan (b)


Pelajar dikehendaki mengenal pasti aspek-aspek sastera tetapi berdasarkan petikan sahaja.


Soalan (c)


Pelajar dikehendaki mengenal pasti aspek-aspek sastera berdasarkan keseluruhan prosa atau puisi yang dikemukakan oleh soalan.


 Oleh yang demikian, untuk menjawab soalan pemahaman dengan baik, pelajar wajarlah menguasai pelbagai aspek sastera yang diajar oleh guru.




BAHASA MELAYU KERTAS 2 PMR

KERTAS DUA


A KENALI KERTAS ANDA!

1 Kertas 2 ini dikenali dengan kod 02/2 PMR.


2 Mulai tahun 2005, bentuk atau format kertas ini berubah agak ketara.

3 Masa yang diperuntukkan ialah 2 jam, manakala markahnya ialah 100 markah.

B PEMBAHAGIAN KERTAS 2

Bahagian A:


Dibahagi kepada dua, iaitu:

(a) Ringkasan – 20 markah

(b) Pemahaman petikan umum (3 item soalan) – 10 markah

Bahagian B

Karangan berdasarkan bahan rangsangan – 20 markah

Bahagian C

Karangan respons terbuka (5 item soalan, pilih 1) – 40 markah

Bahagian D

KOMSAS (Novel) – 10 markah

BAHAGIAN A (i) RINGKASAN


 Soalan ini meminta pelajar menulis ringkasan tidak melebihi 80 patah perkataan berdasarkan sebuah petikan 200 hingga 250 patah perkataan atau 4 hingga 5 perenggan.

Tips Menjawab!

 Langkah pertama, pelajar haruslah membaca arahan soalan dengan teliti terutamanya untuk mengenal pasti kata kunci/fokus soalan seperti faktor, langkah, kesan, kepentingan, manfaat, implikasi, akibat, cara dan sebagainya.


 Selepas mengenal pasti kata kunci tersebut, pelajar perlu mencari isi-isi penting dalam petikan berdasarkan kata kunci/fokus soalan yang diberi.Jangan hadkan jumlah isi-isi penting. Carilah sebanyak mungkin yang ada dalam petikan tersebut.

 Selepas dapat mencari isi-isi penting tersebut, tulis ringkasan dalam satu perenggan yang mengandungi tidak lebih daripada 80 patah perkataan (sekurang-kurangnya mesti ada 6 hingga 7 isi).

 INGAT!!! Jangan salin ayat bulat-bulat daripada isi tersebut; dan jangan ubah kesemua perkataan yang terdapat dalam isi tersebut kerana bimbang maksudnya akan terpesong.


 Lebih baik dan selamat, ubah satu atau dua perkataan yang terdapat dalam ayat isi itu.


Contoh

Fokus soalan

Masalah penjualan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ayat Isi

Ada yang berpendapat bahawa tabiat membaca rakyat Malaysia masih rendah berbanding dengan rakyat di negara-negara lain.

Cara I

Masalahnya adalah disebabkan amalan membaca masyarakat Malaysia masih rendah berbanding dengan masyarakat di negara-negara lain.

Cara II

Amalan membaca rakyat Malaysia yang masih rendah berbanding dengan rakyat di negara-negara lain merupakan masalahnya.


 Selepas menulis ringkasan itu sila kira jumlah perkataan serta semak jika terdapat kesalahan ejaan atau tatabahasa.


 Markah maksimum untuk isi ialah 10 markah (5 isi x 2 = 10 markah); manakala markah maksimum untuk bahasa ialah 10 markah (bergantung pada persembahan bahasa pelajar).



BAHAGIAN A (ii) PEMAHAMAN



 Berdasarkan petikan umum untuk membuat ringkasan tadi, pelajar juga perlu menjawab 3 soalan pemahaman.

Soalan 1

Soalan tentang maksud frasa atau rangkai kata dan juga peribahasa yang terdapat dalam petikan dan 2 markah akan diberi. Seboleh-bolehnya, gantikan setiap perkataan dalam rangkai kata tadi dengan perkataan anda sendiri, tetapi hendaklah mengikut maksud penggunaannya dalam petikan.

Soalan 2

Soalan pemahaman berdasarkan petikan dan markah yang diberi ialah 4. Oleh sebab soalan ini berdasarkan petikan, pelajar mestilah mencari isi jawapannya dalam petikan tersebut. Setelah ditemui, jangan disalin bulat-bulat tetapi seperti menjawab ringkasan, pelajar sekurang-kurangnya mengubah satu atau dua perkataan. Markah yang diberi ialah 4, maka pelajar perlu mengemukakan lebih daripada satu isi (2, 3 atau 4 isi jika ada dalam petikan).


Soalan 3

Merupakan soalan pendapat yang jawapannya dikategorikan sebagai tersirat. Hal ini bermakna pelajar mesti membuat kesimpulan atau memberikan pendapat sendiri.

INGAT!!! Pelajar tidak boleh memberikan pendapat yang sewenang-wenangnya. Oleh itu, untuk selamat, pelajar perlulah bertindak bijak dengan memberikan seberapa banyak isi yang dapat.
BAHAGIAN B KARANGAN BERPANDU


 Mulai PMR 2005, pelajar akan menjawab karangan berdasarkan bahan rangsangan sama ada dalam bentuk gambar, bahan grafik, jadual dan sebagainya.

 Untuk menjawab soalan ini, langkah pertama yang penting adalah membaca arahan soalan dengan teliti, kerana terdapat kata kunci yang akan membimbing pelajar untuk menghasilkan karangan nanti.

Tips Menjawab!

Contoh:


Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kegunaan perpustakaan berdasarkan gambar tersebut. Panjang huraian anda hendaklah tidak lebih daripada 120 patah perkataan.


 Berdasarkan arahan soalan tersebut, pelajar dikehendaki menulis tentang kegunaan perpustakaan (kegunaan = kepentingan, kebaikan, faedah, dan manfaat).


 Ingatlah, bahawa ini ialah karangan. Oleh itu, haruslah mengandungi pengenalan, tiga isi, dan penutup. Oleh sebab masa yang dicadangkan hanyalah 25 minit, maka pelajar dinasihatkan hanya menulis sebanyak 120-150 patah perkataan sahaja.

 Jangan terlalu mengambil masa yang lama untuk menulis karangan bahagian ini kerana markah yang diperuntukkan hanyalah 20 markah sahaja.

BAHAGIAN C KARANGAN UMUM


 Dalam Bahagian C ini, anda diberi 5 pilihan. Bacalah dengan teliti semua soalan.

Jangan baca sekerat sahaja dan terus membuat keputusan.

 Mulai tahun 2005, markah yang diberi ialah 40 markah. Karangan akan disemak secara impression dan mementingkan aspek bahasa. Oleh itu, pelajar mesti berhati-hati, dan sentiasa menyemak karangan bagi mengurangkan kesilapan tatabahasa.

Tips Menjawab!

 Pilihlah soalan yang anda tahu bukannya memilih soalan yang popular tetapi anda tidak memahami isu yang dinyatakan.


 Sebaik-baiknya pilih soalan yang sesuai dengan pemahaman, pengetahuan, dan keupayaan anda mengembangkannya. Selepas itu, sediakan rangka karangan seringkas yang mungkin.

 Sebelum menulis rangka karangan, fahamilah kata kunci soalan karangan, isu soalan dan jenis karangan tersebut.

Contoh:

Sungguhpun negara anda kian maju, namun pengurusan sampah sarap masih belum memuaskan. Cadangkan langkah-langkah untuk mengatasinya.



Kata kunci: Cadangkan langkah-langkah mengatasi

Isu: Pengurusan sampah sarap masih belum memuaskan.

Jenis karangan: Pendapat



 Untuk Kertas 02/2 PMR Bahasa Melayu, anda digalakkan menulis:

 Pendahuluan (40 patah kata)

 Empat isi penting (40 x 4 isi = 160 patah kata)

 Penutup (40 patah kata)

– Jumlah perkataan = 240 patah kata

– Jumlah yang dikehendaki = 180 patah kata



 Perenggan isi hendaklah mengandungi: Fakta + Huraian + Contoh

                                                                   (F   +      H       +      C)

BAHAGIAN D NOVEL


 Soalan bahagian ini adalah berdasarkan novel-novel yang dikaji mengikut zon masing-masing.

 Oleh itu, pelajar mesti membaca serta mengkaji novel dari aspek-aspek sasteranya seperti sinopsis, tema, persoalan, perwatakan, plot, latar, gaya bahasa, nilai, dan pengajaran.


Tips Menjawab!


 Untuk menjawab soalan ini, pelajar tidak harus hanya bergantung pada sinopsis sahaja, kerana kebanyakan aspek sastera tersebut memerlukan contoh-contoh yang mesti dikemukakan semasa menjawab soalan.


 Semasa menjawab soalan KOMSAS, pelajar diwajibkan menulis dalam bentuk esei/karangan bukannya ditulis dalam bentuk poin, rangka isi atau jadual. Jika tidak, markah pelajar akan dipotong.

 Sebaik-baiknya tulis isi jawapan dengan formula = FAKTA + CONTOH



Contoh: Nilai yang terkandung dalam novel ‘Panas Salju’ ialah nilai kasih sayang. (FAKTA) Nilai ini dapat kita lihat menerusi watak Zulkifli dan Bushrah, yang sentiasa memperlihat kasih-sayang mereka kepada kedua-dua anak mereka. (CONTOH)



 Selain itu, pelajar juga mesti mengelakkan daripada melakukan banyak kesalahan dari aspek tatabahasa dan ejaan, kerana terdapat markah untuk bahasa dalam soalan ini.

 Jika ada masa, tulislah sebanyak mungkin isi kerana isi yang salah tidak akan ditolak markah, manakala isi yang betul akan diberikan markah.

SAINS KERTAS 2 PMR



Untuk menjawab kertas 2, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian:

1. pastikan tulisan sentiasa kemas dan mudah dibaca
2. potong perkataan yang tersalah tulis SEKALI SAHAJA (sekiranya anda menggunakan pen)
3. ayat jangan meleret-leret dan menyalin sebahagian besar daripada soalan
contoh: Apakah yang berlaku kepada akar tumbuhan dalam rajah di atas selepas beberapa hari?
cara menjawab yang kurang baik: Selepas beberapa hari, akar tumbuhan dalam rajah di atas akan menunjukkan sifat hidrotropisma positif.
memadai menjawab seperti ini: Akar tersebut akan menunjukkan sifat hidrotropisma positif.

4. jangan menggunakan simbol kecuali apabila diminta

contoh: Nyatakan formula bagi Hukum Ohm.
Jawapan yang kurang baik: R= V/I
Sebaik-baiknya: Resistance= Voltage/ Current

5. elakkan menggunakan simbol bagi atom atau molekul kimia. Ini kerana, ramai pelajar yang menggunakan simbol yang salah.

Soalan no. 7 biasanya bertujuan untuk menguji kemahiran pelajar untuk mengenalpasti ciri-ciri yang ada pada gambarajah yang disediakan dan kemudiannya membuat pengelasan terhadap gambarajah yang sama.

Untuk mengenalpasti ciri-ciri, pelajar hanyalah perlu menyatakan apa sahaja ciri-ciri relaven yang jelas kelihatan pada gambarajah SAHAJA, bukan ciri-ciri yang diketahui tetapi tidak wujud dlm gambarajah. Contohnya:

Soalan: State one characteristic of the above animal. (Nyatakan satu ciri bagi haiwan di atas).


Jawapan yang kurang tepat: berdarah sejuk (walaupun pernyataan ini benar, tetapi ia TIDAK ditunjukkan dalam gambarajah di atas!)

Jawapan yang sesuai: mempunyai dua pasang kaki @ penglihatan monokular @ bermuncung tirus @ bergigi tajam
2. Jika soalan meminta pelajar untuk melabel gambarajah, pastikan anda lukis garisan yang lurus (tidak membengkok atau melengkung). Oleh itu gunakan pembaris. Pastikan hujung garisan itu kena tepat pada bahagian yang dikehendaki. Jika anda perlu melabel lebih daripada satu bahagian, pastikan setiap garisan itu tidak bertindan antara satu sama lain (atau menyilang antara satu sama lain). Pastikan juga kehendak soalan sebenar. Adakah ia mahukan anda menulis nama bahagian tersebut atau sekadar menulis simbol yang diberi. Kecuaian memahami kehendak soalan hanya akan menyebabkan anda RUGI PADA TEMPAT YANG TIDAK SEPATUTNYA!!

3. Seperti yang dinyatakan pada tips 2 di atas, anda sepatutnya memahami sepenuhnya kehendak soalan. Kenalpasti sama ada, soalan menghendaki anda:

menyenaraikan ciri-ciri (characteristic)

menyatakan sebab atau alasan (give reason/ why)

menerangkan pernyataan (state/ give detail/ describe/ explain)

menyenaraikan contoh2 (give examples)

menyatakan definisi (define/ give meaning)

menyatakan lokasi (where/ define location)

menyatakan proses (how)

menyatakan fungsi (give function)

menyatakan pemerhatian (state observation)

beri cadangan (give suggestion/ state other ways to ...)

membanding (compare and contrast)

menyatakan jenis (define type)

membuat pengiraan (show calculation)

menyatakan perkaitan (state relationship)

membuat andaian (give prediction)

Sebagai permulaan, saya hanya akan membincangkan beberapa perkara sahaja daripada senarai di atas. Selebihnya akan dibincangkan dalam bahagian yang seterusnya.

(a) menyenaraikan ciri-ciri (characteristics)

Senaraikan ciri2 fizikal atau kimia. Ciri2 fizikal ialah ciri2 yang boleh diperhatikan pada sifat luaran atau yang kelihatan pada pandangan luaran kita terhadap objek yang dibincangkan.

Manakala, ciri2 kimia pula merupakan keadaan kimia objek berkenaan.

Contoh ciri-ciri fizikal: warna, bau, rasa, bentuk, saiz, suhu, takat lebur dan takat didih (melting point and boiling point), keadaan fizikal @ luaran (physical appearance @ performance), dll.

Contoh ciri2 kimia: kebolehan bertindak balas dengan bahan lain, struktur kimia, jenis ikatan kimia, jenis kumpulan - mengikut Jadual Berkala, keelektronegatifan, nombor pengoksidaan, dll.

(b) menyatakan sebab atau alasan (give reason/ why)

Soalan jenis ini meminta anda memberi sebab atau hujah kepada sesuatu pernyataan.

Contohnya:

i. Soalan: kenapa kita mesti menggunakan penunjuk bikarbonate? (why do we need to use bicarbonate indicator?)

Penerangan: soalan ini meminta anda menyatakan tujuan penggunakan bahan tersebut.

ii. Soalan: (a) Yang manakah di antara kertas turas berikut akan kering lebih cepat? (b) Nyatakan sebab bagi jawapan anda di (a).

Penerangan: sila beri perhatian kepada soalan (b). Ia meminta anda untuk menyatakan sebab kepada pemilihan jawapan anda pada soalan (a). Contohnya, jika jawapan anda di (a) ialah ' kertas turas X'. Anda perlu menyatakan hujah kenapa jawapan anda - 'kertas turas X'. Anda boleh menyatakan hujahnya dengan cara melihat kepada perbezaan yang wujud antara kertas2 turas.

(c) Menerangkan pernyataan (state/ give detail/ describe/ explain)

Soalan jenis ini bukanlah suatu masalah terutamanya kepada pelajar yang benar2 dapat mengingati fakta dan menganalisa maklumat yang berkaitan dengan kehendak soalan. Biasanya ia meminta pelajar untuk menerangkan sesuatu proses atau kejadian mengikut turutan yang betul.

Contoh soalan:

Terangkan bagaimanakah gas oksigen diangkut oleh sel darah merah (explain how oxygen is transported by red blood cells)

Ulasan:

Untuk soalan di atas, pelajar perlu menerangkan proses oksigen diangkut oleh sel darah merah ke seluruh badan dengan lengkap. Fikirkan juga akan fakta2 istimewa yang mungkin wujud dalam proses tersebut. Perhatikan juga jumlah markah yang diperuntukkan untuk soalan tersebut. Ini dapat membantu pelajar menentukan perkara2 yang perlu dimasukkan sebagai jawapan.

Contoh jawapan yang kurang tepat:

Gas oksigen meresap masuk ke dalam sel darah merah melalui membran selnya lalu mengalir mengikut arah aliran darah.

Contoh jawapan yang lebih baik:

Sel darah merah mengangkut oksigen dalam bentuk oksihemoglobin apabila oksigen berpadu dengan hemoglobin yang terkandung di dalamnya.



(d) menyenaraikan contoh2 (give examples) atau menyatakan jenis (define type)

Ada pelajar yang sering cuai untuk memahami kehendak soalan seperti ini. Pelajar perlu faham bahawa “contoh” dan “jenis” adalah berbeza. Kebiasaanya, soalan jenis ini agak mudah. Oleh itu, adalah SANGAT MERUGIKAN apabila anda boleh tersilap menjawab soalan seperti ini.

Contoh soalan 1:

Ikan lumba-lumba Katak Harimau Kala jengkeng

Berdasarkan maklumat di atas, nyatakan 2 contoh lain bagi haiwan yang sama kumpulan dengan Kala jengkeng (Based on the information given, state another 2 animals that are similar to scorpian).

Ulasan:

Perhatikan ayat soalan! Ia meminta anda menyatakan “…2 contoh lain bagi haiwan yang sama kumpulan…”. Ini bermakna, soalan mahukan CONTOH HAIWAN.

Selain daripada itu, perhatikan juga senarai haiwan2 lain. Fikirkan, apakah yang membezakan kala jengkeng dengan 3 haiwan yang lain (ikan lumba2, katak dan harimau). Di sini, anda sepatutnya sedar bahawa ikan lumba2, katak dan harimau adalah haiwan dari kumpulan Vertebrata (vertebrate). Ini bermakna, kala jengkeng berbeza daripada 3 haiwan lain kerana ia tidak mempunyai tulang vertebrata. Oleh itu, anda sepatutnya sudah boleh menyenaraikan haiwan2 dari kumpulan invertebrata (invertebrate).

Contoh jawapan yang baik:

(i) siput babi (ii) kupu-kupu



Contoh soalan 2:

Ikan lumba-lumba Katak Harimau Kala jengkeng

Apakah jenis kumpulan yang diwakili oleh ikan lumba2 dan harimau (What is the group represented by the dolphin and the tiger).

Ulasan:

Terlebih dahulu, anda perlu memikirkan kesamaan yang wujud antara kedua2 haiwan. Kedua2 haiwan ini bukan sahaja bertulang belakang (vertebrate), malah kedua2nya juga dari kumpulan yang sama iaitu ‘mamalia’ (mammals).

Antara jawapan “bertulang belakang (vertebrate)” dan “mamalia (mammals)”, jawapan yang terbaik adalah “mamalia”. Ini kerana sifat “mamalia” tidak wujud pada katak mahupun kala jengkeng. Sebaliknya, jawapan “bertulang belakang”, turut dikongsi dengan katak.

Walaubagaimanapun, sekiranya markah yang diperuntukkan adalah lebih daripada 1 markah, ini bermakna anda boleh memasukkan jawapan “bertulang belakang” sebagai tambahan kepada jawapan utama tadi.



* Kerap juga berlaku, di mana soalan meminta pelajar menyatakan ciri2 bagi sesuatu. Tetapi, pelajar pula menyenaraikan contoh2.

Contoh soalan 3:

Ikan lumba-lumba Katak Harimau Kala jengkeng

Berdasarkan maklumat di atas, nyatakan 2 sifat yang menyamakan ikan lumba2 dan harimau (Based on the information given, state 2 characteristics that are similar between the dolphin and the tiger).



Contoh jawapan yang cuai:

(i) platipus (ii) monkey



Ulasan:

Berdasarkan Contoh Jawapan Yang Cuai di atas, pelajar sebenarnya tidak memahami kehendak soalan. Kes ini sebenarnya kerap berlaku, walaupun soalan nampak agak mudah. Ia mungkin juga disebabkan pelajar tidak memerhatikan soalan tersebut dengan jelas atau gopoh dalam menjawab soalan.

Pengajarannya: Perhatikan kata kunci utama bagi setiap soalan. Jalan yang terbaik adalah apabila anda mula membaca soalan, gariskan atau bulatkan kata kuncinya agar anda nampak dengan jelas apa yang dimahukan oleh soalan tersebut. Apabila telah selesai menjawab keseluruhan kertas soalan, baca sekali lagi setiap soalan dan jawapan yang anda berikan. Mungkin, anda akan jumpa jawapan anda yang tidak selari dengan kehendak soalan!!



(e) menyatakan definisi (define/ give meaning)

Kini, soalan jenis ini wujud dalam dua bentuk. Yang pertama, ialah soalan yang meminta pelajar menyatakan definisi atau maksud bagi sesuatu pernyataan. Yang kedua pula, ialah meminta pelajar menyatakan definisi secara operasi.

Pernyataan definisi secara umum boleh diperolehi daripada kebanyakan buku teks dan buku rujukan. Ia biasanya dinyatakan diawal perbincangan tentang sesuatu topik pelajaran.

Definisi secara operasi pula kebanyakannya boleh diperolehi daripada formula pengiraan (mathematical formula) atau persamaan kimia (chemical equations).

Contoh2 istilah yang biasanya boleh didefinisikan secara operasi - menggunakan formula matematik:

i. ketumpatan (density)

ii. arus, voltan dan rintangan dalam litar selari atau litar bersiri (current, voltage and resistance in parallel or series circuit)

iii. kerja (work) atau tenaga (energy)

iv. kuasa (power)



Contoh2 istilah yang biasanya boleh didefinisikan secara operasi – menggunakan persamaan kimia:

i. respiration

ii. combustion

iii. photosynthesis

iv. neutralisation

v. fertilisation

Untuk memudahkan penguasaan anda di bahagian ini, senaraikan seberapa banyak istilah yang dipelajari dan kelaskan mengikut kumpulan seperti yang dinyatakan dalam contoh istilah di atas. Langkah pertama ialah menulis formula matematiknya atau persamaan kimianya. Kemudian, tukarkan formula atau persamaan itu ke dalam bentuk pernyataan. Sebaik-baiknya minta bantuan guru untuk memantau hasil kerja anda agar tidak berlaku kesilapan. Anda juga boleh menulisnya dalam bentuk jadual. Maaflah, buat masa ini, cikgu tidak dapat menyediakan isinya untuk anda semua. :p



(f) menyatakan lokasi (where/ define location)

Soalan ini juga agak mudah. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah mengingat fakta. Kebiasaan pelajar tidak akan menghadapi masalah untuk bahagian ini. Kalaupun ada, ia mungkin disebabkan kecuaian memahami kehendak soalan dan tidak ingat fakta.

Cara menjawab:

“Di …” ATAU “Ia terletak di …”

Elakkan daripada hanya menuliskan nama tempat tanpa penggunaan “di”.



(g) menyatakan proses (how)



Soalan ini meminta pelajar menyatakan nama proses. Ia berbeza daripada apa yang diterangkan dalam perkara (c) sebelum ini (iaitu “Menerangkan pernyataan (state/ give detail/ describe/ explain)”). Biasanya soalan ini memperuntukkan hanya 1 markah. Pelajar juga tidak perlu memberi penerangan yang panjang lebar.

Contoh soalan:

Bagaimanakah alkohol dapat diasingkan daripada air? (How to separate alcohol from its mixture with water?)

Contoh jawapan:

Ia boleh diasingkan dengan menggunakan kaedah penyulingan.


TEKNIK MENJAWAB GEOGRAFI PMR




Teknik-Menjawab-Geografi-PMR-1

TEKNIK MENJAWAB PENDIDIKAN ISLAM PMR


3038038-PMR-TEKNIK-tengku

TEKNIK MENJAWAB PENDIDIKAN SEJARAH PMR



TEKNIK MENJAWAB KEMAHIRAN HIDUP- KEMAHIRAN TEKNIKAL PMR


Teknik_Menjawab_Soalan_KHB_-_KT_bahagian_I

MATHEMATICS PRESENTATION PMR


Matematik-Presentation PMR

ENGLISH PMR TIPS


English PMR Tips

MATH PMR MODULE

PMR MODULE 
  1. Directed Numbers
  2. Squares, square roots; cubes and cube roots
  3. Linear Equations
  4. Algebraic Formulae
  5. Linear Inequalities
  6. Indices
  7. Algebraic Expressions
  8. Statistics
  9. Solid Geometry
  10. Scale Drawing
  11. Trigonometry

Intensive Revision PMR
  1. Practice 1
  2. Practice 2
  3. Practice 3
  4. Practice 4
  5. Practice 5