Tips Skema Soalan UPSR /PMR/ SPM
KUANTAN - Kesungguhan ibu menjadi titik tolak kepada kejayaan Nur Nabilah Aisyah Mat Nawawi, 18, yang mendapat 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.
Nur Nabilah berkata, setiap hari ibunya, Rohanizah Alias, 50, tidak pernah gagal menyediakan bekal untuk dibawa ke sekolah dan ayahnya Mat Nawawi Abd Ghani, 59, sentiasa memberi dorongan.
Malah, kesibukan tugas sebagai jururawat tidak menghalang ibunya ‘mencuri’ waktu menyediakan sarapan pagi itu.
“Saya percaya kepada berkat air tangan ibu, yang ikhlas menyediakan apa sahaja untuk anak-anak.
“Sebagai anak, saya berusaha sebaik mungkin agar pengorbanan yang dilakukan kedua-dua ibu bapa terbalas dengan kejayaan pada hari ini,” katanya ketika ditemui di SMK Abdul Rahman Talib, di sini.
Sekolah tersebut muncul sekolah terbaik Pahang apabila mencatat peningkatan pencapaian tertinggi dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.18.
Nur Nabilah berkata, dia tidak mempunyai rahsia kejayaan tetapi percaya kepada tumpuan di dalam kelas banyak membantu selain sering bertanya kepada guru sekiranya tidak memahami sesuatu topik.
Anak kedua daripada lima adik-beradik itu juga sentiasa menjadikan ibunya sebagai teman untuk mengulang kaji pelajaran.
Rohanizah berkata, dia akan cuba meluangkan masa untuk menemani anaknya mengulang kaji pelajaran pada setiap malam.
“Jika tidak dia akan merajuk. Tapi saya seronok dapat menemani dia belajar, malah ada kalanya kami akan berlumba-lumba menyelesaikan masalah Matematik.
“Bagaimana pun, saya cukup bangga dengan pencapaian dia malah diharap dapat menjadi pendorong kepada tiga adiknya,” katanya.
Nur Nabilah bercita-cita mahu melanjutkan pengajian dalam bidang Farmasi atau Kejuruteraan Mekanikal di universiti tempatan.
Selain Nur Nabilah, Jaonne Ruth Imanuel, 18, turut mendapat 9A+. Mereka adalah antara 42 pelajar cemerlang SMART yang mendapat keputusan gred A dalam semua mata pelajaran.
Selamat Maju Jaya
0 comments:
Post a Comment