Sunday, January 1, 2012

Simpulan Bahasa bermula dari huruf 'D'

Tips Skema Soalan UPSR / PMR / SPM

Simpulan Bahasa bermula dari huruf 'D'

1. Dabik Dada = Mendabik Dada
Maksud: Menunjuk-nunjukkan keberanian atau kebanggaan.
Contoh Ayat: Dia mendabik dada dan mencabar sesiapa sahaja yang berani menentangnya.

2. Dagang Piatu
Maksud: Orang asing yang tidak mempunyai saudara-mara.
Contoh Ayat: Ameer berasal dari Bangladesh dan dia dagang piatu di Malaysia.

3. Daki Dunia
Maksud: Harta dunia.
Contoh Ayat: Hidup mesti amanah, jangan mudah terpengaruh dengan daki dunia.

4. Dakwat Tumpah
Maksud: Rambut yang hitam lebat.
Contoh Ayat: Rambut Rozita yang bagai dakwat tumpah itu sungguh cantik dipandang.

5. Dalam Kekeringan
Maksud: Sewaktu seseorang itu tidak mempunyai wang.
Contoh Ayat: Saya dalam kekeringan bulan ini kerana terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk membaiki kereta saya yang rosak.

6. Dalam Tangan
Maksud: Sesuatu yang pasti akan dimiliki.
Contoh Ayat: Pasukan Selangor berjaya ke perlawanan akhir bola sepak Piala Diraja, sekurang-kurangnya untuk menjadi naib juara sudah dalam tangan.

7. Dapat Hati
Maksud: Beroleh cinta, cinta yang berbalas.
Contoh Ayat: Sejak dapat hati daripada gadis sebelah rumah, Jusoh sering kelihatan tersenyum sendirian.

8. Dapat Khabar = Mendapat Khabar
Maksud: Menerima berita.
Contoh Ayat: Pak Leman mendapat khabar anaknya menjadi pelajar terbaik di United Kingdom.

9. Dapat Malu = Mendapat Malu
Maksud: Menanggung malu.
Contoh Ayat: Ah Hok mendapat malu apabila dia ditangkap kerana mengedar dadah.

10. Dapat Nama = Mendapat Nama
Maksud: Menjadi terkenal.
Contoh Ayat: Anisa mendapat nama setelah memenangi hadiah pertama peraduan mengarang cerpen.

11. Dapat Terpijak
Maksud: Mendapat sesuatu dengan mudah atau tidak disangka-sangka.
Contoh Ayat: Zainon dapat terpijak hadiah bonus yang bernilai RM5000.

12. Darah Daru Setampuk Pinang
Maksud: Masih muda.
Contoh Ayat: Walaupun Sira seperti darah baru setampuk pinang dia berani berhadapan dengan musuh di perbatasan.

13. Darah Daging
Maksud: Anak dan saudara-mara dari keturunan sendiri.
Contoh Ayat: Anak abang saya adalah darah daging saya.

14. Darah Gemuruh
Maksud: Mudah gugup.
Contoh Ayat: Swee King tewas dalam pertandingan syarahan itu kerana dia darah gemuruh.

15. Darah Manis
Maksud: Mudah mendapat bahaya atau kecederaan.
Contoh Ayat: Orang yang sedang bertunang dikatakan berdarah manis dan perlu sentiasa berhati-hati apabila melakukan sesuatu kerja.

16. Darah Panas
Maksud: Cepat marah.
Contoh Ayat: Berhati-hati apabila bercakap dengannya kerana dia darah panas.

17. Darah Putih
Maksud: Keturunan bangsawan.
Contoh Ayat: Kassim sebenarnya berdarah putih dan nama sebenarnya ialah Raja Kassim bin Raja Alauddin.

18. Datuk Nenek
Maksud: Leluhur.
Contoh Ayat: Petua datuk nenek tidak harus dilupakan.

19. Delima Merekah
Maksud: Warna bibir yang cantik.
Contoh Ayat: Bibirnya yang bagai delima merekah itu sentiasa mengukir senyuman.

20. Depan Hidung = Di Depan Hidung
Maksud: Terlalu dekat.
Contoh Ayat: Bakul besar yang di depan hidung pun dia tidak nampak, apalagi kalau disuruh mencari jarum.

21. Detak Hati
Maksud: Perasaan, kata hati.
Contoh Ayat: Detak hatinya mengatakan bahawa adiknya masih hidup.

22. Detik Jantung
Maksud: Bunyi degup jantung.
Contoh Ayat: Seakan terhenti detik jantung Ayu apabila mendengar berita kematian sahabat baiknya.

23. Diam Diri = Berdiam Diri
Maksud: Tidak berkata-kata.
Contoh Ayat: Dia hanya berdiam diri dalam mesyuarat itu.

24. Diam Penggali
Maksud: Orang yang diam dan memudaratkan dirinya.
Contoh Ayat: Kalau tidak faham hendaklah bertanya, jangan jadi diam penggali.

25. Diam-Diam Lepu
Maksud: Pada zahirnya nampak baik tetapi sebenarnya jahat dan berbahaya sekali.
Contoh Ayat: Jangan percayakan Azhar itu kerana dia diam-diam lepu.

26. Diam-Diam Ubi
Maksud: Orang yang diam tetapi pandai dan rajin.
Contoh Ayat: Lisa diam-diam ubi, nampak pendiam tetapi keputusan peperiksaannya sangat cemerlang.

27. Dingin Hati
Maksud: Tidak riang.
Contoh Ayat: Dila dingin hati di majlis hari jadinya kerana ayahnya telah tiada lagi.

28. Dingin Kepala
Maksud: Berfikiran tenang dan waras.
Contoh Ayat: Membuat sesuatu keputusan, biarlah ketika dingin kepala.

29. Dingin Tangan
Maksud: Orang yang pekerjaannya selalu berjaya.
Contoh Ayat: Puan Lim dingin tangan kerana sayur-sayuran yang ditanamnya menjadi belaka.

30. Duduk Perut
Maksud: Hamil.

31. Duit Kopi
Maksud: Bayaran tidak rasmi kepada seseorang sebagai upah.
Contoh Ayat: Zali memberi RM50 sebagai duit kopi kepada Abu.

32. Durian Runtuh
Maksud: Mendapat sesuatu dengan mudah atau tidak disangka-sangka.

Selamat Maju Jaya

1 comments:

Unknown said...

good. try again.congratilations

Post a Comment