TIPS SKEMA SOALAN UPSR/PMR/SPM
Oleh Cikgu Rashman
Setiap pelajar sudah tentu mempunyai strategi dan yang tersendiri untuk mengulang kaji pelajaran. Biasanya strategi seseorang pelajar tidak serupa dengan strategi pelajar yang lain. Ia bergantung kepada keupayaan individu, persekitaran, pengalaman calon menduduki ujian atau peperiksaan yang lalu dan sebagainya.
Teknik atau strategi yang terbaik ialah yang selesa, sesuai, semula jadi dan anda fikir berkesan dengan cara anda! Oleh itu para pelajar hanya perlu membina strategi mengulang kaji pelajaran Sejarah berdasarkan kepada faktor-faktor tersebut. Berikut adalah beberapa panduan atau teknik mengulang kaji mata pelajaran Sejarah (PMR,SPM & STPM).
• Mengetahui topik-topik penting.
Calon perlu mengetahui beberapa maklumat penting mengenai topik-topik pelajaran Sejarah semasa membuat ulang kaji. Calon perlu mengetahui ciri-ciri utama soalan kertas Sejarah termasuklah masa ujian, bilangan soalan, format soalan, kod kertas, topik-topik penting yang kerap dikemukakan dalam peperiksaan dan sebagainya.
Jangan panik atau gementar jika calon belum mengulang kaji keseluruhan topik tersebut sepenuhnya. Lihat jadual yang disertakan di bawah ini sebagai panduan. Beri keutamaan kepada topik-topik penting yang menjadi minat anda dahulu.
Selalunya topik-topik penting akan diberi tumpuan semasa membuat ulang kaji. Kemudian diikuti dengan topik-topik yang lain. Buat ulang kaji dengan penuh minat dan ketekunan kerana minat dan ketekunan akan menyebabkan pembelajaran anda akan lebih tersusun! Dengan cara ini anda akan mengulang kaji topik-topik yang lebih sukar dan mencabar tanpa rasa bosan atau terpaksa.
Anda juga boleh membuat ulang kaji dan tumpuan yang lebih kepada topik-topik yang agak sukar dan mencabar dan mengurangkan penekanan kepada topik yang anda fikir lebih mudah dikuasai. Calon akan mengulang kaji dengan cekap dan seimbang bagi setiap topik untuk memperoleh hasil yang maksimum.
• Mengulangkaji secara sistematik dan kronologi.
Peristiwa dan fakta sejarah biasanya disusun mengikut kronologi. ( KRONOLOGI bermaksud susunan dari yang awal kepada yang akhir) Calon-calon perlu mengulangkaji tajuk-tajuk yang mempunyai fakta dan peristiwa yang terlalu padat mengikut susunan iaitu yang dahulu didahulukan, dan yang kemudian dikemudiankan. Ini untuk mengelakkan kekeliruan bagi mengingat fakta dan peristiwa penting. Contoh Kronologi ialah seperti susunan peristiwa dibawah. Kita perlu memahami peristiwa awal seperti Cadangan penubuhan Malaysia sebelum memahami proses-proses bagaimana Malaysia terbentuk.
Rajah 1 : Gagasan Malaysia sehingga penubuhannya pada 1963
Cadangan penubuhan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman 27 Mei 1961
Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) Julai 1961
Suruhanjaya Cobbald 19 Februari - 17 April 1962
Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) Ogos 1962
Rujuksuara/Referendum di Singapura 1 Sept 1962
Brunei menolak cadangan Malaysia Julai 1963
Rombongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Sabah dan Sarawak 16 Ogos - 5 Sept 1963
Pengisytiharan Malaysia 16 Sept 1963
Apabila anda sudah menguasai isi pelajaran/topik mengikut kronologi dengan baik, anda tidak akan mengalami masalah kekeliruan untuk menghuraikan untuk mengulangkaji tanpa mengikut urutan.
• Pertarikhan dalam mata pelajaran Sejarah
Peristiwa dan fakta Sejarah memang tidak boleh dipisahkan dengan tarikh. Perlu diingat, soalan Sejarah tidak bertujuan untuk membebankan pelajar dengan begitu banyak tarikh yang perlu diingat atau dihafal. Memadailah dengan mengingat atau menghafal tarikh penting atau kurun itu sahaja.
Rajah 2: Penentangan tokoh tempatan terhadap British pada abad ke-19
Tahun Tokoh Tempat
1831-1832 Dol Said Naning
1875 Maharaja Lela Tok Sagor Perak
1875 Yamtuan Tengku Antah Negeri Sembilan
1853 Rentap Sarawak (Sungai Skrang)
1859 Syarif Masahor Sarawak(Sarikei)
1891-1895 Dato' Bahaman & Tok Gajah Pahang
1894-1900 Mat Salleh Sabah (Sungai Sugut)
• Mengkaji perjanjian penting
Terdapat banyak perjanjian penting yang memberi kesan kepada perkembangan sejarah politik, ekonomi dan sosial negara kita. Setiap satu perjanjian mempunyai sebab mengapa ia dimetrikan. Setiap perjanjian juga mempunyai syarat-syarat atau isi yang berbeza dengan perjanjian yang lain. Malah lebih hebat lagi ia memberi implikasi yang bukan sedikit kepada negara kita. Contohnya ialah Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 atau Perjanjian London 1824.
Sebab-sebab perjanjian London ditandatangani
Belanda membantah pembukaan Singapura dan mendakwa bahawa Singapura di bawah pengaruh mereka.
Sejak dibuka, Singapura terus berkembang dengan pesat dan perdagangannya bertambah.
Badan perdagangan di London dan Calcutta mendesak kerajaan British supaya terus menduduki Singapura. Kerajaan British ingin bersahabat dengan Belanda demi menjaga kepentingan masing-masing di Timur.
Pada 17 Mac 1824, kedua-dua kerajaan menandatangani Perjanjian Inggeris-Belanda atau Perjanjian London.
Isi-isi penting Perjanjian London
Singapura, Tanah Melayu dan India menjadi kawasan pengaruh British.
Wilayah di Selatan Singapura termasuk Riau-Lingga dan Hindia Timur menjadi kawasan pengaruh Belanda.
Belanda melepaskan tuntutannya ke atas Singapura dan mengakui Singapura sebagai tanah jajahan British.
Belanda menyerahkan Melaka kepada British.
British menyerahkan Bangkahulu (Bencolen) kepada Belanda.
Belanda akan mengekalkan monopoli perdagangan di Pulau Maluku.
Belanda akan membayar RM100,000 kepada British untuk menyelesaikan hutangnya.
Perjanjian monopoli bijih timah di antara Belanda dengan Negeri-negeri Melayu akan dibatalkan.
Kesan-kesan penting perjanjian tersebut
Gugusan Kepulauan Melayu terbahagi kepada dua bahagian. British bebas meluaskan kuasanya di Tanah Melayu tanpa gangguan Belanda.
Empayar Johor-Riau juga terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Kepulauan Riau-Linggi di bawah pengaruh Belanda dan tanah besar Johor di bawah pengaruh British.
Empayar Johor-Riau telah berakhir; Pahang (iaitu jajahan Johor) mengambil kesempatan membebaskan diri daripada kawalan Johor.
Pahang diperintah oleh keluarga Bendahara.
Singapura kekal sebagai tanah jajahan British.
Cuba fahami setiap perjanjian-perjanjian penting, faktor-faktor yang menyebabkan termeterainya sesuatu perjanjian, isi-isi perjanjian dan kesan selepas perjanjian tersebut ditandatangani. Contoh perjanjian-perjanjian yang popular dan sering dikemukakan dalam ialah:
o Perjanjian Inggeris - Belanda 1824
o Perjanjian Burney 1826
o Perjanjian Pangkor 1874
o Perjanjian Persekutuan 1896
o Perjanjian Bangkok 1909
o Perjanjian Persekutuan 1956 dan lain-lain.
• Sumbangan tokoh-tokoh penting.
Cuba ulang kaji juga mengenai biografi tokoh-tokoh penting negara seperti Maharaja Abu Bakar, Dato' Onn bin Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak bin Hussein, Ibrahim Yaakob, Dr Burhanuddin Al Helmi, Ishak Haji Muhammad dan sebagainya. Fokuskan kejayaan utama dan sumbangan mereka kepada negara. Walau bagaimanapun bacalah juga butir-butir peribadi mereka, pendidikan, latar belakang dan gambar foto mereka yang terdapat di dalam buku teks untuk memudahkan pelajar mengecam wajah tokoh-tokoh tersebut.
Untuk sejarah Dunia juga pelajar perlu mengenali masa kegemilangan tokoh ( jangka hayat tokoh), sumbangan tokoh kepada negaranya atau kepada masyarakatnya. Contoh tokoh penting seperti, Aristotle,Socrates, Plato, Nabi Muhammmad, Khalifah-khalifah, Para Ilmuwan & Falsafah, dan ramai lagi.
TIPS : Bagaimana mengingat nama tokoh yang pelik-pelik.....??? Kebanyakan pelajar mempunyai masalah mengingat nama-nama tokoh terutamanya nama yang agak pelik. Contohnya seperti Socrates, Nebuchanezzar, Pericles, dan sebagainya. Untuk mengatasi masalah ini dicadangkan pelajar menulis sebanyak mungkin nama tokoh tersebut diatas kertas Mungkin 20 hingga 40 kali. Cuba tulis dengan mengeja mengikut suku-suku kata. Contohnya Nebuchanezzar ----- dieja dan ditulis seperti berikut : Ne/ bu/ cha /nezzar ---------- Nebuchanezzar.
• Fahami KONSEP penting.
Para pelajar juga perlu memahami konsep-konsep penting. Contohnya seperti konsep Sistem Pemerintahan, Demokrasi, Republik, Kerajaan, Revolusi, Tamadun, Imperialisme, Nasionalisme, Sistem Pemerintahan, Sistem Feudal, Monarki, Anarki, Autokrasi dan sebagainya. Cuba dapatkan huraian tentang konsep-konsep tertentu dengan jelas kerana ia membantu anda memahami topik-topik tertentu dengan lebih mudah. Anda juga perlu memahami perbezaan antara satu konsep dengan konsep yang lain. Contohnya perbezaan konsep Sistem Pemerintahan Demokrasi dengan Sistem Pemerintahan Feudal. Disarankan anda mendapatkan bantuan guru anda untuk memberikan penjelasan tentang konsep-konsep yang anda masih kabur.
• Bersedia dengan soalan berbentuk stimulus.
Para pelajar diminta membiasakan diri dengan soalan berbentuk peta, pernyataan, petikan, carta,graf, gambarajah, puisi, gambar foto, ilustrasi, maklumat peristiwa, situasi, dialog, perbilangan jadual, senarai dan sebagainya. Pelajar yang telah membiasakan diri dengan bentuk soalan seperti ini semasa membuat ulangkaji akan lebih menguasai sesuatu tajuk dengan cepat dan cekap.
• Membuat Nota
Pelajaran Sejarah tidak pernah membebankan pelajar dengan sesuatu yang terlalu mencabar hingga susah dicapai oleh kebanyakan pelajar. Apa yang penting, pelajar memahami sesuatu peristiwa sejarah itu sendiri. Pelajar yang asyik membaca tetapi masih kabur dan tidak memahami topik yang dibaca perlu mengambil langkah berikut:
- membaca teks buku rujukan
- menggariskan fakta yang dianggap penting
- membaca sambil mencatat nota
Cara pertama memakan masa lebih-lebih lagi kalau buku rujukan terlalu tebal dan pelajar mungkin mengalami kesusahan untuk menghabiskannya. Oleh itu pelajar perlu bersedia sejak awal lagi.
Teknik kedua juga lebih berkesan asalkan pelajar tidak terlalu cenderung untuk menggaris sehingga semua perkataan di dalam teks turut digaris!
Cara ketiga paling berkesan kerana nota yang dibuat adalah ringkas dan dianggap penting. Cara ini menjimatkan masa dan tenaga kerana pelajar yang kurang memahami sesuatu maklumat penting akan membaca teks asal semasa mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan.
Nota bolehlah dibuat dalam pelbagai bentuk antaranya dalam bentuk:
Bentuk Carta Alir, Peta Minda, Jadual Besar, Gambar-gambar Kartun, Akronim, Penggunaan Kata Kunci dan sebagainya bergantung kepada minat dan kesesuaian pelajar. Penting juga nota ini ditulis dalam buku yang mudah dibawa untuk memudahkan pelajar mengulangkaji dimana-mana (di Stesen Bas, kantin dsb).
• Ulang kaji soalan lepas.
Calon gemar menjawab soalan-soalan Sejarah yang lalu akan lebih bersedia, lebih yakin, lebih bersemangat dan meramal bentuk atau format soalan akan datang. Mengetahui contoh-contoh soalan tahun lepas sangat berguna kepada calon. Ia memberi gambaran bagaimana sesuatu soalan dikemukakan, bilangannya, taburannya dan kekerapan setiap topik disoal.
Ini diakui ramai guru-guru Sejarah kerana Lembaga Peperiksaan sendiri sering mengeluarkan laporan analisis jawapan calon-calon beberapa tahun lalu pada setiap tahun. Daripada analisis laporan tersebut para guru boleh mengetahui kelemahan yang dilakukan oleh setiap calon tahun lepas. Dengan cara inilah calon dapat membaiki kelemahan dan membaiki kelemahan tersebut semasa membuat ulangkaji.
• Soalan Ramalan.
Guna soalan ramalan bukan untuk meneka atau meramal soalan yang akan keluar. Soalan ramalan digunakan untuk membuat latihan dan menguji keupayaan calon sahaja. Jika soalan ramalan yang anda jawab itu keluar, anggaplah ia kebetulan atau sebagai bonus sahaja. Ini disebabkan soalan ramalan memang diragui ketepatannya. Jadi jangan terlalu percaya kepada soalan ramalan hingga tidak mahu mengulangkaji tajuk lain .
• Meneka jawapan dalam peperiksaan.
Boleh, jika calon tidak pernah menduga atau calon benar-benar tidak tahu soalan dan mengganggu jawapan yang dikemukakan. Bagaimanapun anda harus meneka secara bijak iaitu dengan membuat pilihan yang anda pasti betul dan membuang pilihan yang sudah pasti salah. Kemudian pilih jawapan yang paling tepat sahaja daripada pilihan jawapan yang tinggal. Lebih baik meneka daripada tidak menjawab langsung!
• Membuat latihan sendiri.
Selalulah mencuba membuat latihan sendiri atau secara berkumpulan di rumah semasa membuat ulang kaji untuk menilai kelemahan diri sendiri di samping membuat latihan atau ujian yang diberikan oleh guru Sejarah anda di kelas. Apa yang penting ialah para pelajar harus mencuba dan terus mencuba latihan yang dibuat sendiri tanpa perasaan jemu atau terpaksa! Akhirnya, ia akan menjadi satu kebiasaan belajar yang berkesan.
Kebiasaan menjawab sesuatu latihan akan menjadikan seseorang pelajar menjadi mahir dalam topik yang disoal atau dikemukakan. Jika pelajar mengamalkannya maka pelajar kurang menghadapi masalah dalam pelajaran tersebut. Ia bukan sahaja memudahkan pelajar mengingat sesuatu fakta sejarah bahkan sentiasa berusaha untuk menjawab soalan yang lebih mencabar.
• Habiskan ulang kaji sebelum bulan Ogos.
Anda mesti menghabiskan ulang kaji topik-topik penting mata pelajaran Sejarah sebelum atau pada bulan Ogos untuk memudahkan anda membuat latihan pelajaran lain juga. Jadi, pelajar harus mengisi masa yang terluang untuk membuat ulang kaji. Ingat, calon perlu mengasah kemahiran sendiri dengan menjawab soalan peperiksaan yang banyak demi kejayaan dan kecemerlangan pencapaian semua mata pelajaran yang diambil dengan seimbang. Calon bukan berhadapan dengan kertas mata pelajaran Sejarah sahaja. Pelajaran lain juga perlu masa belajar yang seimbang.
• Minat terhadap mata pelajaran Sejarah.
Minat merupakan pendorong kuat yang dapat menggalakkan ke arah kejayaan bagi merangsang calon untuk terus belajar. Sebenarnya, ada beberapa cara yang boleh membantu calon meminati pelajaran Sejarah. Antaranya anda perlu mengingati nama-nama tokoh (negarawan) sebagaimana anda mengingati nama-nama jaguh sukan negara dan bintang Filem (e.g kaitkan nama dengan Filem Star & Rock Star). Anda juga boleh mengembangkan aspek-aspek yang digemari atau disukai dalam kehidupan pelajar dengan mata pelajaran Sejarah. Sekiranya anda ingin menjadi seorang peguam, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk membolehkan anda mencapai cita-cita tersebut.
Seterusnya, untuk memperkembangkan minat terhadap pelajaran Sejarah, anda perlu meluangkan masa menonton filem-filem sejarah (cth: Peristiwa Bukit Kepong, Ghandi, dsb), dokumentari (cth: Jejak Rasul, Discovery, National Geographic) atau mengunjungi pameran bercorak sejarah dan membuat perkaitan pendidikan Sejarah dengan kehidupan pelajar. Contohnya bila anda melihat Piramid dalam filem The Mummy, anda dapat membayangkan fakta sejarah kehidupan masyarakat Mesir Purba dan membuat perbezaan dengan cara hidup masa kini. Begitu juga dengan melihat gambar bangunan Parlimen, anda boleh membuat interpretasi negara kita mengamalkan pemerintahan demokrasi berparlimen. Dengan melawat Tugu Negara anda pernah mempelajari pahlawan kita yang terkorban kerana melawan komunis semasa darurat dan sebagainya. Ingat! •
• Sesuatu subjek yang diminati lebih mudah diingati.
• Minat boleh dibina dengan mencari serta memperkembangkan aspek yang digemari atau disukai.
• Minat, kegemaran dan kemajuan saling dipadankan dengan cita-cita akan membantu kecemerlangan.
• Minat membantu anda memaksa diri untuk berjaya !
Semoga Berjaya !!!
0 comments:
Post a Comment