Mengurus Masa Belajar
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Pelajar perlulah bijak menguruskan masa mereka agar dapat diseimbangkan antara aktiviti mengulangkaji dengan aktiviti-aktiviti lain. Kegagalan mengurus dan mengatur masa dengan berkesan antara faktor kegagalan dalam pelajaran. Sebagai pelajar anda mestilah:
- Pastikan waktu mengulangkaji anda lebih daripada 3 jam sehari. Malah semakin hampir dengan peperiksaan anda perlu belajar sehingga 5 - 7 jam sehari. Jangan pula salah faham, maksud 5 - 7 jam ini bukanlah belajar secara berterusan. Anda mungkin belajar 1 jam di waktu subuh, 2 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam. Ini menjadikan masa belajar anda 6 jam sehari.
- Tahap konsentrasi atau tumpuan belajar adalah berbeza. Ada pelajar yang boleh tumpu selama 1 jam dan ada pula yang hanya bertahan selama 20 minit. Jangan paksa diri anda. Sekiranya anda rasakan tumpuan anda mula terganggu, ambillah rehat seketika. Iaitu lebih kurang 5 minit. Selepas itu sambung semula belajar. Sebelum anda sambung belajar, cuba imbas kembali apa yang telah anda ketahui sebelumnya.